Harapan Seorang Ayah


Setibanya aku di Rumah Tumpangan Sejahtera, tempat ayahku bekerja sebagai pembantu pengurus, aku lihat Pak Karman sedang termangu di muka jendela. Aku tidak pernah berbual-bual dengan beliau. Pak Karman tidak seperti orang-orang tua lain yang menghuni rumah tumpangan itu. Beliau sering bersendirian dan berwajah hiba.

Apakah yang dimenungkan oleh Pak Karman? Apakah peristiwa yang membuat Pak Karman sentiasa bersedih hati? Rasa ingin tahu memuncak-muncak di dadaku. Aku memberanikan diriku, mudah-mudahan aku dapat membantunya.

“Fauzi, ada apa Nak?” tanya Pak Karman bersahaja. Matanya tidak lepas-lepas memandang taman riadah di hadapan rumah tumpangan itu.

“Benarkah kata orang, jodoh pertemuan, kematian dan perpisahan datangnya daripada Tuhan?”
Pak Karman tidak segera menjawab. Tiba-tiba kulihat air mata bergenang di kelopak matanya. Aku menjadi serba salah.
Pak Karman diam sahaja. Kemudian beliau mengeluarkan sekeping foto dari sakunya lalu memberikannya kepadaku. Kulihat foto seorang kanak-kanak sebayaku sedang berdiri di serambi rumah.
“Itulah anak Pak Karman, Hafiz namanya. Kami berpisah sewaktu peperangan dunia kedua dulu,” kata Pak Karman dengan sedihnya.
“Sabarlah Pak Karman,” kataku cuba menenangkan Pak Karman.
“Benar katamu tadi, Fauzi. Jodoh pertemuan, kematian dan perpisahan datangnya daripada Tuhan. Tapi Pak Cik tidak akan berputus asa. Pak Cik akan terus mencari Hafiz. Pak Cik yakin akan bertemu semula dengan Hafiz pada suatu masa nanti.”
Aku mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku begitu belas melihat nasib Pak Karman. Tiba-tiba muncul niat di hatiku, “Aku akan membantu Pak Karman mencari anaknya, Hafiz yang hilang itu.”

----------------------------------------------------------------------------
Jawab soalan-soalan berikut :
  1. Siapakah yang bekerja di Rumah Tumpangan Sejahtera?
  2. Bilakah Pak Karman berpisah dengan anaknya?
  3. Apakah keinginan Pak Karman?
  4. Siapakah yang berniat membantu Pak Karman mencari anaknya yang hilang itu?
  5. Pada pendapat kamu, bagaimanakah agaknya Pak Karman boleh berpisah dengan anaknya?
  6. Berikan perkataan seerti/seiras bagi:

    a. hiba - __________________
    b. niat - _________________
  7. Berikan satu perkataan untuk dalam teks yang bermakna termenung-menung kerana susah hati atau bingung.

SELAMAT MENCUBA!!!



footer